Kenali Daerah Sik


Daerah Sik terletak di sebelah timur negeri Kedah, bersempadanan dengan negara Thailand di bahagian timur laut dan utara. Ia juga bersebelahan dengan daerah Baling di selatan, daerah Kuala Muda di barat daya, daerah Pendang di barat dan daerah Padang Terap di barat laut.

Sik merupakan daerah yang unik masih lagi mempunyai kawasan hutan lipur dan hutan rekreasi yang banyak serta terpelihara. Sik juga merupakan kawasan yang kaya dengan keindahan flora dan fauna serta berpotensi menjadi agro pelancongan di negeri Kedah.

Sik berasal dari perkataan Arab ‘Syed’. Mubaligh-mubaligh Arab yang membuka penempatan ini. Mereka berhenti dan singgah dengan perahu di Lubuk Tok Keramat, Sungai Chepir iaitu berhampiran stesen minyak Shell yang beroperasi sekarang, iaitu di pekan Sik. Mereka telah mendirikan perkhemahan di sebuah padang yang dikenali sebagai Padang Tok Sheikh. Tapak ini kemudian berkembang menjadi sebuah penempatan dan pondok yang pertama di negeri ini.

Perkataan Sik berasal dari ‘Syed’ atau ‘Sheikh’ dan jika disebut dalam loghat petani Kelantan, ianya berbunyi ‘Sik’. Berkeluasan 1,634.6 kilometer persegi serta mempunyai penduduk berbilang kaum sebanyak 74,420. Melayu sebanyak 69,250 (93.1%), Cina 1,115 (1.5%), India 61 (0.1%) dan masyarakat Siam sebanyak 3,994 (5.3%). Dari segi keseluruhan, daerah Sik masih lagi daerah pertanian. Guna tanah utama Daerah Sik adalah hutan yang meliputi 123,309.57 hektar. Oleh itu, industri eko pelancongan sangat berpotensi untuk dibangunkan memandangkan Sik kaya dengan keunikan alam semula jadi untuk dimajukan seperti Tasik Beris, Empangan Muda, Hutan Simpan Ulu Muda, Lata Mengkuang, Rimba Takwa serta Lata Lembu Emas.

Bangunan Plaza Sik

Pelbagai aktiviti dapat diwujudkan kepada para pengunjung melalui pembangunan sektor pelancongan ini, seperti laluan denai, memancing, perkhemahan, mendaki bukit, jejak gajah, menyusur sungai dan tasik serta menyaksikan sendiri keindahan flora dan fauna. Kesempatan melancong di Sik memberi seribu kenangan kepada para pencinta flora dan fauna. Sik mempunyai 55 peratus daripada keseluruhan mamalia, di mana enam daripada 10 spesis yang terdapat di Malaysia, 78 peratus spesis tupai terdapat di sini, 174 spesis burung serta 54 spesis reptilia disediakan kepada para pengunjung.

Selain kepelbagaian jumlah fauna tersebut, Sik terutamanya di Hutan Simpan Ulu Muda terdapat 42 spesis amfibia, mengatasi hutan simpan lain yang terdapat di Malaysia. Pelbagai khazanah alam dapat diterokai di Sik yang berpotensi dimajukan sebagai eko pelancongan. Memang tidak dapat dinafikan, untuk menjadikan daerah Sik maju dalam eko pelancongan, aspek kebersihan juga penting untuk ditingkatkan. Kini, perjalanan menyusuri ke Sik tidaklah sesukar dulu, kerana struktur jalannya telah dinaik taraf serta memberi keselesaan kepada pengunjung. Justeru, kebersihan di Sik amat membanggakan dan ianya bukanlah menjadi isu besar dan pihak Majlis Daerah Sik masih berusaha mempertingkatkannya.

 Bangunan Melor

Dari segi pembangunan pertanian, melalui agensi MOA Inc., usaha memajukan sektor pertanian serta industri asas tani di daerah ini sedang giat dibangunkan, yakni hala tuju pertanian serta industri asas tani telah diwujudkan bagi mengekalkan dan memajukan tanah-tanah pertanian yang sedia ada serta tanah-tanah terbiar yang sesuai dan berpotensi sebagai kawasan pembangunan pertanian yang produktif dan berdaya maju.

Bagi memantapkan hala tuju ini, enam strategi telah diperkenalkan, iaitu penetapan zon tanaman, meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui kaedah pertanian moden, menggalakkan sumber pertumbuhan baru dan ‘value added’, meningkatkan pendapatan dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi di luar bandar, mewujudkan sistem pemasaran yang cekap dan telus serta membangunkan sumber manusia yang cekap dan mahir bagi memenuhi keperluan.

Bandar Baru Beris Jaya

Jabatan Pertanian telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi ‘lead agent’ bagi pertanian. Jabatan-jabatan lain yang terlibat dalam melaksanakan hala tuju pertanian di Sik adalah Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, Jabatan Pengairan dan Saliran, FAMA, RISDA, KEDA, FAMA, MARDI, PPK dan Agro Bank.

Sik antara daerah yang mewarisi nilai hidup Malay typical (Melayu jati) dengan majoriti penduduknya orang Melayu-Islam tidak terdedah dengan unsur negatif dalam masyarakat mempunyai tahap perpaduan yang tinggi serta semangat kekitaan yang tinggi, berlatar belakangkan sekolah pondok yang terkenal di samping mempunyai sistem pendidikan moden seperti Sekolah Menengah Agama Sik dan Maktab Mahmud.

0 comments:

Post a Comment