Monday, March 26, 2012

KENALI MADRASAH AR RAHMANIAH, SIK - TN.GURU HJ SALLEH

Penginapan Keluarga Tentunya di Nafru Homestay


Kenalilah Pusat Pengajian Pondok Madrasah Ar Rahman yang padat dengan pengisian kuliah pengajian Fardhu Ain yang disampaikan oleh Tn.Guru Hj Salleh. Salah satu pusat pengajian Fardhu Ain terulung di Negeri Kedah.

Tuan Guru Hj Salleh bin Musa dilahirkan pada 08.02.1929 di Sik, Kedah. Beliau mempunyai seramai 8 orang adik beradik dan beliau merupakan anak yang ke 3. Tuan Guru berkahwin dengan Hajah Hatiah bt Hanafi dan dikurniakan 11 orang cahaya mata .

Tuan Guru Haji Salleh Musa, seorang tokoh pendakwah dan tokoh agama yang sangat disegani di Negeri Kedah. Beliau yang telah banyak menyumbang jasa dalam sektor pengajian agama di negeri Kedah merupakan anak jati Sik, Kedah.


Pemilik dan pengasas kepada sebuah pondok agama terkemuka di Sik, Kedah iaitu Madrasah Ar-Rahmaniah atau juga dikenali sebagai Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik pernah mengikuti sesi pengajian agama di Pondok Tuan Hussein, Pulau Pinang selama sebulan sebelum Malaysia (ketika dulu Tanah Melayu) ditakluk di bawah jajahan Jepun. Semasa tempoh penjajahan, Tuan Guru Haji Salleh tidak mengikuti mana-mana pengajian selama hampir 3 tahun 8 bulan. Setelah tamat penjajahan Jepun ke atas Malaysia, Tuan Guru terus menyambung pengajian dalam bidang pendidikan agama di Gajah Mati, Pendang.

Bapa beliau yang pada ketika itu merasakan sudah tiba masanya untuk Tuan Guru melanjutkan pengajian ke Mekkah memberi dorongan dan rangsangan untuk beliau melanjutkan pengajian ke Negara Timur Tengah itu. Berkat doa dari bapa beliau, Tuan Guru Haji Salleh telah menyambung pengajiannya ke Mekkah ketika beliau berusia lingkungan 25 tahun. Perjalanan ke Mekkah pada ketika itu yang menggunakan kapal laut telah memakan masa selama 16 hari untuk tiba di sana. Beliau mengabdikan diri menuntut ilmu di bumi bertuah Mekkah selama 15 tahun. Beliau telah mengikuti kuliahnya yang pertama di Makkah iaitu di Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah selama 6 tahun sehingga beliau mendapat sijil yang tertinggi dari Madrasah tersebut.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah, beliau seterusnya mendalami ilmu agama dari tokoh pengajian Arab yang terkemuka di Masjidil Haram seperti Al-Alim Alamah Sheikh Muhammad Yassin Al-Fadani. Pelbagai pengalaman yang telah beliau tempuhi sepanjang berada di Mekkah antaranya terpaksa bersusah payah dan bertungkus lumus untuk mempelajari Bahasa Arab yang menjadi pertuturan harian beliau ketika di sana.

Banyak halangan juga telah beliau tempuhi semasa membuka Madrasah Ar-Rahmaniah antaranya tohmahan dari orang kampung berhubung hasrat beliau untuk mengembangkan pengajian Islam menerusi kuliah yang beliau sampaikan di madrasah tersebut. Berkat kesabaran dan keikhlasan beliau untuk menyampaikan ajaran agama kepada seluruh masyarakat Kedah, akhirnya Madrasah Ar-Rahmaniah, Sik ini berjaya ditubuhkan dan kini telah menerima kemasukan pelajar dari seluruh Malaysia antaranya dari Kelantan, Pahang dan Perak.

Bapa kepada 11 orang anak ini telah dipilih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk menerima Anugerah Tokoh Pendakwah bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1430H/2009M di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) baru-baru ini. Selain itu, beliau juga pernah menerima darjah kebesaran daripada KDYMM Tuanku Sultan Kedah antaranya Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M) dan pingat Setia Diraja Kedah (S.D.K).

0 comments:

Post a Comment