Thursday, April 12, 2012

TIPS MEMBAWA BARANGAN KETIKA MELANCONG


Membawa barangan, alatan dan pakaian ketika melancong adalah menjadi keperluan dan perkara utama yang perlu disediakan. Orang lelaki pada kebiasaannya begitu mudah dan ringkas persediaannya berbanding perempuan yang begitu teliti dan banyak keperluan yang perlu di bawa. Perlu diingatkan, kita cuma hendak pergi melancong dan bergembira dan jangan biarkan lebihan membawa pakaian dan alatan akan merosakkan mood percutian anda. Anda perlu memilih barangan yang dibawa benar-benar akan digunakan ketika melancong.

Jangan sampai beg yang bakal dibawa terlalu besar dan sangat padat atau bilangan beg tersebut terlalu banyak macam orang nak buat jualan langsung. Kemahiran menyusun barang di dalam beg perlu ada supaya ia lebih praktikal dan sistematik.

Tips mengemas beg secara praktikal dan sistematik ini mungkin boleh membantu anda sekaligus meringankan beg yang bakal dibawa dan akan menceriakan percutian anda.
 
1. Susun pakaian dalam beg secara menggulung terlebih dulu pakaian itu. Selain dapat menjimatkan ruang, pakaian yang digulung juga dapat mengurangkan kedutan pada baju anda.Bagi pakaian jenis kapas yang ringan dan nipis, anda boleh menggulungnya sekecil mungkin.

2. Letakkan barang yang paling berat di bahagian bawah beg supaya bebanan tidak terlalu berat dan beg juga lebih seimbang. Kemudian diikuti dengan barangan lain. Perlu diingat, untuk membawa barang seperti komputer riba atau kamera, pastikan anda meletakkannya terlebih dulu ke dalam bekas yang tahan lasak sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian anda.

3. Jika membawa kelengkapan peribadi seperti syampu, sabun, tuala dan ubat gigi, pastikan anda membawanya dalam botol atau saiz yang kecil.Selain dapat menjimatkan pemakaian, tentunya menjimatkan ruang dalam beg anda.

4. Sediakan beg plastik untuk menyimpan pakaian kotor supaya ia dapat diasingkan daripada pakaian bersih. Situasi itu berlaku jika anda bercuti di pulau atau kawasan pantai.Justeru dengan adanya beg plastik, baju anda yang masih bersih boleh diselamatkan daripada kotor, basah atau berbau peluh.

5. Asingkan barang yang amat penting seperti dompet atau pasport ke dalam beg kecil bagi memudahkan anda mengambilnya ketika diperlukan. Anda tidak perlu lagi menyelongkar beg yang berisi pakaian dan barangan lain.

6. Jika membawa kasut lebih, bungkus saja ia dengan plastik supaya menjimatkan ruang. Apabila membawa bantal pula, bawalah bantal tiup yang ringan dan praktikal.

7. Pastikan juga ketika anda pergi dan pulang dari bercuti anda memakai pakaian yang mengambil ruang penyimpanan yang banyak atau berat seperti jaket dan seluar jeans.

8. Pilih beg yang sesuai dan mudah untuk menyimpan barang secara praktikal. Elakkan menggunakan beg yang terlalu besar nanti orang kata anda hendak berpindah rumah pula.
 
Cubalah tips di atas mana tahu boleh meringankan beban barangan yang dibawa ketika pergi melancong. Yang penting anda dan keluarga gembira dan ceria.

0 comments:

Post a Comment