Sunday, March 25, 2012

Info Tasik Beris, Sik.

TASIK BERIS, SIK TEMPAT MENARIK BUDAYA CANTIK
Jangan lupa menginap di Nafru Homestay


Tasik Beris merupakan sebuah tasik buatan manusia di Malaysia, yang terbentuk hasil dari pembinaan empangan Beris iaitu pada 10 Ogos 2000. Tasik Beris mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri iaitu mempunyai pemandangan panorama yang indah dikelilingi oleh rangkaian bukit-bukau dan kawasan hutan simpan semulajadi.

Terletak di daerah Sik, Kedah, ia asalnya adalah sebuah kampung yang bernama Kampung Sungai Batang yang terdapat didalam kampung ini ialah Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar. Jauhnya tasik ini dari Pekan Sik adalah lebih kurang 24 km atau dari Alor Setar iaitu 90 km dan kira-kira 1.6 km dari pertemuan antara Sungai Beris dan Sungai Muda.

Sejarah

Sewaktu Kampung Sungai Batang masih wujud, kegiatan harian penduduknya ialah sebagai petani seperti menjadi pesawah, penoreh getah.

Terdapat dua batang sungai yang bersambung di Kampung Kuala dan sungai ini akan bersambung ke Sungai Muda. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Kuala dan Sungai Batang. Air yang datang dari hulu Sungai Batang begitu banyak yang memberikan potensi untuk diwujudkan Tasik Beris.

Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang telibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang

Penduduk-penduduk kampung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Batang untuk mendapatkan pendidikan awal. Tapak sekolah asal telah ditenggelami air empangan Beris. Sekolah tersebut telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya terletak berhampiran dengan penempatan penduduk-penduduk kampung di Bandar Baru Beris Jaya.

Ekonomi

Kini Tasik tersebut berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan air. Terdapat beberapa chalet yang boleh disewa dengan kadar yang berpatutan. Pengusaha chalet menyediakan beberapa kemudahan aktiviti untuk penyewa disamping dapat menikmati suasana sunyi di sekitar tasik ini.

Disamping itu terdapat ladang anggur seluas 34 ekar, yang boleh dilawati dengan bayaran masuk yang berpatutan. Di ladang Anggur Tasik Beris ini pengunjung boleh melihat bagaimana bentuk pokok dan buah anggurnya.
Aktiviti - aktiviti yang giat dijalankan di Tasik Beris ialah aktiviti memancing, berkayak, berakit, bersiar-siar di sekeliling tasik, jungle treking. Selain itu, program motivasi dan aktiviti perkhemahan sering diadakan di kawasan Tasik Beris dengan adanya kelengkapan.

0 comments:

Post a Comment