Saturday, April 14, 2012

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI KEDAH
Jangan lupa menginap di Nafru Homestay

Nageri Kedah Darul Aman mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik lagi bersejarah. BandarayaAlor Star misalnya; telah melakar sejarah dengan melahirkan ramai pemimpin negara seperti Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara tempat-tempat menarik yang lain ialah seperti;
Balai Besar yang dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah. Dinding, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu. Balai Nobat pula dibina setinggi lapan meter dan lima meter lebar. Ia menyimpan pelbagai khazanah peralatan muzik diraja, antaranya serunai, nafiri, gendang dan gong. Galeri Seni Lukis pula menghimpunkan pelbagai hasil seni termasuk seni lukis, fotografi, pertukangan tangan dan peralatan muzik.
Muzium Diraja Kedah pula merupakan Bangunan yang diperbuat daripada kayu dan dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah pada 1735. Tunku Abdul Rahman dilahirkan dan dibesarkan di bangunan bekas istana ini.




Masjid Zahir  dibina pada tahun 1912 sebagai penghargaan kepada Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Menara Alor Star salah satu tempat yang juga menjadi tarikan pelancong. Ia terletak di tengah bandaraya Alor Star dengan ketinggian 165.5 meter. Ia adalah lambang kemodenan dan kepesatan pembangunan di Kedah. Ia berfungsi sebagai menara telekomunikasi.

Pekan Rabu adalah tempat yang baik untuk menjamu selera dan membeli pelbagai cenderahati untuk di bawa pulang. Anda boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk pakaian, kraftangan dan makanan tradisional. Pekan Rabu terletak berdekatan bangunan jabatan kerajaan. Walaupun namanya Pekan Rabu, perniagaannya dibuka setiap hari berikutan sambutan orang ramai.

Muzium Padi. lokasinya terletak kira-kira 8 kilometer dari bandar Alor Setar.
Muzium ini adalah satu-satunya muzium padi di Malaysia. Ia mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi.Muzium ini berkeluasan 12,000 meter persegi dan mempunyai tiga aras. Di aras 1 dipamerkan sejarah penanaman padi, variati-variati padi, alat persawahan tradisional seperti anok, renggam dan lain-lain. Selain itu alat menangkap ikan tradisional yang hampir pupus seperti sepila, tuar, bubu dan lain-lain juga dipamerkan di aras ini.
Yang paling menarik dan unik di Muzium padi ini ialah apabila berada di aras 3. Di sini kita dapat melihat panorama tanaman padi dalam bentuk mural dan lanskap. Mural yang berketinggian 8 meter dan 103 meter panjang ini adalah salah satu mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Di aras ini ada ruang pemerhati terletak di atas platform berputar.
Gunung Jerai menjanjikan lokasi percutian menarik dengan keindahan bunga, deruan air terjun dan persekitaran nyaman. Jika anda ingin menikmati kelainan termasuk melihat bunga mangkuk beruk dan bunga kembang tiga bulan serta menghirup udara segar, bertandanglah bersama keluarga ke puncak Gunung Jerai, destinasi peranginan terkenal di Kedah
Pulau Langkawi terdiri daripada sekumpulan 99 buah pulau tropika di pesisiran barat laut Semenanjung Malaysia, lebih kurang 30 km daripada Kuala Perlis dan 51 km daripada Kuala Kedah di Tanah Besar. Pulau yang utama dikenali sebagai Pulau Langkawi. Pulau-pulau ini diselubungi warisan mitos dan legenda yang menarik, yang dipenuhi gergasi dan burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, peperangan dan kisah cinta.
Sebagai syurga keindahan semulajadi, pulau-pulau ini mungkin tiada tandingannya di mana-mana tempat di Asia Tenggara. Pantai-pantai indah menawarkan hari-hari yang merehatkan sepenuhnya di bawah sinaran matahari. Air jernih berwarna zamrud di sekeliling pulau-pulau ini adalah amat sesuai untuk sukan air dan aktiviti rekreasi. Hidupan yang menawan di dalam air Langkawi seolah memanggil-manggil mereka yang minat menyelam.
Langkawi telah dianugerahkan status “Geopark” oleh UNESCO, untuk keindahan warisan geologinya, yang terdiri daripada lanskap yang indah, binaan batu kapur, gua, gerbang laut, longgokan rumput kering, batu tinggalan glasier dan fosil-fosil. Dengan sejarah geologi sejak dari 500 juta tahun lalu, pulau-pulau ini mempunyai formasi batu unik yang membangkitkan imaginasi dan mengelirukan minda.

Banyak lagi sebenarnya tempat menarik yang terletak di negeri Kedah ini. Antara yang boleh saya sebutkan ialah seperti; Terusan Wan Mat Saman yang menghubungkan Sungai Kedah di Alor Star dengan kaki Gunung Jerai di Gurun, Sungai Petani, di selatan Kedah. Banyak sejarahnya disebalik terusan ini. Selain itu, anda boleh mandi manda di Air Panas Ulu Legong ,Baling; Lata Bukit Hijau, Lata Bayu, Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim , Kulim, Air Terjun Perangin di Sik, Air Terjun Junjung, Kulim; Lata Mengkuang, Sik; Air Terjun Lembah Bujang, Merbok; Rekreasi Tupah, Merbok dan tidak ketinggalan juga menikmati keindahan alam semulajadi di Gunung jerai.

0 comments:

Post a Comment