JIKA anda merancang percutian untuk keluarga terutama cuti
sekolah yang bakal menjelang, apa kata memilih percutian di luar bandar -
peluang untuk menikmati pengalaman baru yang tidak mudah ditemui di
destinasi kota besar.
Sama ada ia merentas hutan belantara,
menjelajah gua atau menyertai program kesedaran ekologi yang lain,
pelancongan ´luar-bandar´ ini akan memberi anak-anak serta ibu bapa
pendekatan yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan pembelajaran dengan
cara berdampingan dengan alam sekitar.
Menurut Pakar Kanak-Kanak,
Dr Yong Junina Fadzil, pelancongan bukan saja untuk bercuti bagi
kanak-kanak kerana ia memberikan mereka peluang untuk mengenali dunia
nyata. "Mereka berkesempatan untuk menyentuh, menghidu, merasa
atau menikmati sesuatu. Ia memberi mereka peluang untuk mengembara
persekitaran di luar alam rumah atau sekolah mereka," katanya.
Pengalaman
sebenar, katanya, membantu untuk memupuk keinginan menimba ilmu dan ia
boleh meningkatkan kadar kebijaksanaan serta daya kreatif kanak-kanak. "Televisyen
dan komputer hanya memberikan pembelajaran pasif manakala pengalaman
nyata memupuk pembelajaran yang dinamik," katanya.
Ternyata pelancongan bagaikan pembelajaran yang tiada penghujungnya sama ada untuk kanak-kanak mahupun golongan dewasa.
Namun,
ibu bapa harus membuat perancangan yang teratur untuk memastikan ia
menjadi percutian yang menyeronokkan. Berikut panduan ringkas untuk
menikmati percutian yang menggembirakan bersama keluarga:
1. Pilih destinasi dan aktiviti yang sesuai
Ketahui
topik terkini yang sedang dipelajari anak di sekolah dan cuba aturkan
percutian bersesuaian. Cuba babitkan anak ketika membuat perancangan
supaya seluruh pengembaraan menjadi lebih menyeronokkan. Bincang
dan dapatkan maklumat bersama supaya mereka tiada alasan untuk merungut
kepada rakan mengenai percutian yang dianggap hanya idea ibu bapa
mereka. Anak juga perlu tahu batasan memilih destinasi dan
aktiviti bersesuaian kerana sesetengah idea mereka mungkin tidak boleh
diterima disebabkan kekurangan masa atau wang.
2. Kenali destinasi terlebih dulu
Sediakan
semua maklumat mengenai sesuatu tempat sebelum memulakan perjalanan dan
jadikannya pengalaman interaktif antara ibu bapa dan anak.
Contohnya,
jika menjelajah hutan rimba, bersedia untuk memberi penjelasan kepada
anak mengenai jenis flora dan fauna yang bakal ditemui sepanjang jalan.
3. Merancang atur cara perjalanan
Kanak-kanak
mudah letih, oleh itu elakkan program perjalanan yang terlampau sibuk.
Sebagai panduan, aturkan supaya terdapat keseimbangan antara masa
aktiviti dengan masa berehat. Jika mahu berjalan-jalan selama tiga jam, aturkan supaya ada masa rehat selama tiga jam.
4. Berkemas awal
Elakkan
berkemas pada saat terakhir kerana ia mendatangkan tekanan berlebihan.
Apabila tarikh perjalanan sudah ditentukan, sediakan senarai dan mula
mengemas. Barangan yang akan membantu mengekalkan keadaan keluarga
bersih dan sihat termasuk kain pembalut luka, ubat tahan sakit atau
demam kanak-kanak, ubat nyamuk dan tisu lembap nyah-kuman.
5. Utamakan keselamatan
Untuk
anak-anak kecil, letakkan sekeping kad dengan nama, alamat dan nombor
telefon bimbit ibu bapa atau penjaga ke dalam poket mereka. Untuk
kanak-kanak yang lebih tua, berikan mereka nombor hubungan ibu bapa atau
penjaga serta nama hotel yang diduduki, sebagai persiapan jika mereka
terpisah. Masukkan sekali gambar terkini mereka.
6. Sediakan makanan dan minuman ringan.
Kanak-kanak
yang lapar dan haus memang mudah meragam. Pastikan mereka makan sebelum
perjalanan bermula dan minum banyak air sepanjang perjalanan.
7. Berhenti untuk ke bilik air.
Dalam
hutan rimba, kadangkala bilik air sukar didapati. Ketahui lokasi bilik
air terdekat dan pastikan anak-anak kosongkan pundi kencing sebelum
pengembaraan bermula. Merancang percutian bersama keluarga
kelihatan agak menyusahkan, tetapi sebelum membenarkan anak berdepan
dengan televisyen atau menyertai kelas tuisyen tambahan, cuba pertimbangkan manfaat luar biasa yang boleh diperoleh daripada percutian
di luar bandar yang mampu mendidik mereka, malah pengalaman sedemikian
memang tiada bandingannya.
Percutian sedemikian boleh membina sikap ingin tahu. Anak-anak lazimnya akan banyak
menyoal dan harus disedari kanak-kanak yang mempunyai sikap ingin tahu
yang kuat sememangnya anak yang bijak dan suka belajar perkara baru. Ia
juga boleh meningkatkan kebolehan menyesuaikan diri. Ketika bercuti,
otak sentiasa cerdas supaya dapat menyesuaikan diri kepada perubahan
pada saat akhir. Ini ternyata sikap yang cukup berguna ketika anak
dewasa kelak apabila mereka berhadapan dengan masalah dalam kehidupan masing-masing.
Percutian juga mampu meningkatkan pengetahuan
geografi. Mempelajari kebudayaan, ekonomi dan cara hidup masyarakat
setempat lebih meninggalkan kesan daripada cuba menghafal fakta mengenai
sesuatu lokasi.
Sedar atau tidak, percutian juga meningkatkan
kefahaman diri. Seseorang yang mengalami tekanan biasanya akan
menunjukkan belangnya. Tekanan daripada perubahan lokasi, cuaca,
keletihan dan interaksi bersama orang lain akan membantu anak lebih
memahami watak dan personalitinya sendiri.
Kanak-kanak yang
menyedari mereka mempunyai kebolehan untuk meneruskan kehidupan walaupun
dalam keadaan yang mencabar, amat membina keyakinan diri mereka. Mereka
berpeluang melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh rakan
lain, seterusnya membantu untuk meningkatkan lagi harga diri dan
membantu dalam apa saja yang bakal dilakukan pada masa hadapan.
Kaki
melancong sering mengatakan bahasa tidak menjadi halangan. Mereka yang
terdedah kepada kebudayaan, agama dan gaya kehidupan yang berlainan
lebih mudah berinteraksi dengan orang lain. Lagipun, kita tidak
perlu ke luar negara, memadai melawat negeri lain yang mempunyai loghat
serta gaya hidup yang tersendiri di bumi Malaysia ini.
Sumber : Harian Metro – 1 September 2010
|
0 comments:
Post a Comment